Thursday, December 3, 2009

MEROMPAK BURMA BANK











MEROMPAK BURMA BANK
Oleh : CIKGU SHAMWEN

Kamilah penyamun di dalam negeri
Kami penyamun di dalam ini negeri
Kerja merompak, mencilok dan mencuri
Tidak memilih mas intan, kerbau sapi
Asal yang boleh kubawa lari
Kami penyamun, penyamun..

Kamilah penyamun di dalam negeri
Kami penyamun cukup berilmu kebal
Pasal mencuri terkenal paling handal
Ayam dan itik semua kami bedal
Siapa melawan ku tunjal-tunjal
Kami penyamun, penyamun…

Begitulah riang gembiranya ‘penyamun-penyamun tarbus’ menyanyi dan bersorak dalam perjalanan menuju ke sempadan Malaysia-Thailand di utara tanah air. Segala peralatan merompak telah siap tersedia di dalam pacuan empat roda. Daripada ‘besi pengumpil dan segala macam jenis spanar hinggalah ke ‘bazooka’ telah siap sedia untuk diseludup keluar. Bom yang setiap butir seberat 2 kg tersembunyi di dalam kotak peluru. Dokumen-dokumen penting juga disimpan rapi untuk melepasi sempadan di Bukit Kayu Hitam. Setelah semua ‘senjata’ dan ‘penyamun-penyamun’ kami berjaya disusup keluar ke pekan Danok maka operasi seterusnya pun disusun. Peta negara Thailand dan Myanmar dibentangkan setiap kali singgah di lokasi rahsia. Visi utama kami ke lokasi yang terletak beratus batu nautika di tengah Laut Andaman itu tidak lain tidak bukan untuk merompak Burma Bank!

Kami bertolak sehari lebih awal dengan tujuan untuk mendapatkan rehat yang cukup. Sambil-sambil itu, dapatlah melancong dan membeli-belah ala kadar di sepanjang perjalanan ke destinasi. Pelbagai jenis makanan Muslim kami cuba setiap kali singgah untuk buang air, berehat sambil ‘membetulkan urat-urat saraf yang lenguh’. Makanan yang pelik-pelik juga bersepah dijual sepanjang jalan. Jangan tersalah order sudah, nanti terkena sup kura-kura!

Perjalanan sejauh hampir 700 km dari sempadan Bukit Kayu Hitam seperti tidak terasa penatnya apabila menjejakkan kaki di bumi Ranong, Thailand. Kami disambut oleh kepala penyamun Ranong iaitu Kapten Ekarat dan konco-konconya. Rata-rata krew seperti Wet dan tekong sendiri memang fasih berbahasa Inggeris membuatkan kami lebih selesa bercerita. Menurutnya, sejarah kebangkitan Ranong bermula dengan munculnya seorang saudagar berbangsa Cina berasal dari Pulau Pinang puluhan tahun dahulu. Beliaulah yang membuka pekan Ranong sehingga menjadi salah satu bandar industri perikanan terkenal. Sehingga kini, ramai tauke ikan dari Malaysia masih menjalankan business dengan nelayan laut dalam di sini. Jeti pendaratan ikan sepanjang 2 kilometer membuktikan betapa mewahnya hasil tangkapan mereka setiap hari. Sebagai tanda penghormatan kepadanya, sebuah patung besar didirikan di tengah bandar.

Malam itu kami menginap di Hotel Tinidee@Ranong yang dahulunya dikenali sebagai Royal Princess Hotel. Hotel yang dilengkapi dengan spa, jakuzi, pusat karaoke dan segala macam mak nenek itu memang menarik minat pelancong-pelancong asing terutamanya ‘mat-mat saleh’. Disebabkan keletihan, masing-masing lebih suka berehat di bilik masing-masing. Maklumlah dah jumpa tilam empuk. Penyamun-penyamun ni tak kesah sangat tidur kat mana-mana pun. Kami dah biasa tidur di dalam kereta, di dalam dangau malah dalam bot yang ditambat di tepi jeti.

Keesokan harinya, setelah sarapan di hotel, kami bertolak ke jeti yang menempatkan bot Polaris One yang gah itu. Pemilik bot ini memang seorang kaki pancing hardcore berasal dari Bangkok. Kami juga sempat meninjau sebuah lagi bot miliknya, Royal Polaris yang harganya dianggarkan hampir RM 3 juta..Mak oi, garaj untuk menyimpan botnya sahaja bernilai RM300 ribu! Bot ini hanya untuk beliau seorang sahaja dan tidak sekali-kali disewakan kepada sesiapa pun. Maklumlah jutawan Bangkok, kami tak rompak hang pun sudah kira bagus! Ikut hanglah, boleh naik Polaris One pun sudah kira okey.

Tengah hari itu, Kapten Ekarat memacu bot menuju ke bandar Kawthaung, Myanmar untuk urusan passport dan permit. Bayaran permit memancing sahaja, imigresen Myanmar bantai kami seorang US120.00..giler! Sementara menunggu urusan selesai sempat kami berbual-bual dengan penduduk tempatan di jeti itu. Saya pun tidak pasti sama ada mereka ini orang Melayu atau orang Rohingya. Ada rupa macam Melayu, ada yang macam Bangladesh dan ada pula yang macam muka pecah rumah! Yang paling sedap mata memandang, gadis-gadisnya macam orang Hindustan, beb. Saya sempat berkenalan dengan seorang penyamun Myanmar bernama Hassan. ’Abu Hassan Pencuri’ ni memang fasih berbahasa Melayu. Katanya dia pernah bekerja di Pulau Pinang sekitar tahun 90 an dahulu. Menurutnya terdapat banyak kampung Melayu di sini. Antara yang masih mengekalkan ejaan Melayunya seperti Kampong Lama dan Kampong Tengah. Sempat dia bawa kami ronda-ronda di pasar dan pekan. Nasib baik dia tak bawa kami berjumpa dengan ’Tengku Faridah’ di Taman Larangan..he he. Sebelum kembali ke bot, sempat saya hulurkan 100 bath kepadanya sebagai tanda persahabatan. Dia juga menghadiahkan sekeping wang kertas Myanmar bernilai 50 kyats kepada saya sebagai kenangan.

Setelah dokumen perjalanan disahkan, seorang pegawai keselamatan turut ikut serta dalam ekspedisi kami yang memakan masa 5 hari 4 malam itu. Naik gabra juga penyamun-penyamun ni melihat gelagatnya. Kami pun tidak pasti atas urusan apa, mungkin atas faktor-faktor keselamatan. Maklumlah trip kali ni semuanya penyamun belaka! Di samping tugasnya memantau ke mana kami pergi, pemancing juga akan berasa lebih selamat dengan kehadiran ’bodyguard from Myanmar’ ini.

Dalam perjalanan, kami menempuh beberapa buah pulau yang masih lagi mengekalkan nama ‘orang putih’. Masih begitu kuat pengaruh penjajah di sini antaranya Christie Island, Hastings Island, Lord Loughborough Island, Sir Robert Campbell Island, Clara Island, Owen Island dan banyak lagi. Namun begitu, terdapat juga pulau-pulau dalam bahasa Burma seperti Zadetkale Kyun, Zadetkyi Kyun, Pila Kyun, Lanbi Kyun dan entah berapa lagi kyun (pulau) lah. Yang menariknya ada sebuah pulau yang seakan-akan menggunakan bahasa Melayu iaitu Pulo Buda (Pulau Buddha). Jelas kelihatan di setiap pulau terdapat sebuah tokong Buddha besar tersergam di atasnya.


Setelah mengharungi perjalanan hampir 10 jam, kami sampai di lubuk pertama. Hari masih gelap dan matahari pun masih malu-malu untuk timbul. Di sini kami sempat melenguhkan urat lengan dengan berjigging ringan. Fahiz ’si penyamun botak’ berjaya menewaskan skipjack tuna dan beberapa ekor yellow fin tuna kecil. Selepas itu, banyak skipjack tuna semakin galak meligan besi jig kami. Skipjack tuna itu disimpan tekong untuk membuat umpan memancing ruby snapper nanti.

Tekong berpindah lubuk lagi. Di lubuk seterusnya kami hanya dapat memancing sejenis spesies seperti ikan kapas dan kuku. Mungkin untuk dijadikan santapan makan tengah hari dan malam kot. Cuaca cantik, laut pun tenang namun spesies mega masih belum kelihatan. Rakan-rakan mula berbisik, mana dia ruby snapper dan kerapu mega. Dogtooth tuna dan yellow fin tuna lagi la tak nampak batang hidung! Dari tadi asyik menyentap ikan-ikan karang bersaiz dua tiga kilo je. Rasa-rasa dah 10 jam merentasi Laut Andaman ni. Sabar-sabar, mungkin masanya belum tiba, masing-masing memujuk diri sendiri.

GOOD JOB

Selepas itu, kami banyak memancing menggunakan teknik apollo dua mata berkekuatan 150lb. Batu ladung seberat 1-2 kg digunakan supaya umpan tidak tersasar. Ternyata teknik ini memang efektif kerana tidak mudah tersangkut pada batu karang. Tapi yang tak tahan bila perambut apollo kami bergumpal sesama sendiri. Kalau sangkut dua tak apa, ini tiga empat perambut apollo sekali berbelit-belit, nak buang macam mana. Orang yang paling sabar dalam dunia pun akan mengamuk bila jadi macam ni! Sakit hati tak dak dah! Mau tak mau, kenalah potong dan buat perambut baru. Si tekong pula asyik mengutuk saja. ”Good job! Good job!” jerit tekong sambil ketawa. Jaddah...

Perjalanan diteruskan lagi. Hampir empat jam kami tiba di satu lokasi yang entah apa namanya pun tak tahu. Kami ikut ja lah, kalau sampai India pun, India lah... Kebetulan di lubuk yang kami singgah itu tiada ragutan ikan. Mungkin tekong sedikit tersasar daripada spotnya. ”No fish! No fish!” jerit Nasir di belakang bot. Kebetulan pula masa itu, ngam-ngam tekong lalu di belakangnya. Tekong pandang semacam je ke arah Nasir. Namun menurut Wet si awak-awak, spot ini memang berpotensi. “ Ruby snapper, ruby snapper! Ready..!” jerit Wet setelah melihat skrin sonar di kokpit tekong.

Selang beberapa minit, penghuni dasar mula mengganas. Kebetulan pula joran Nasir melendut dahulu ditarik rakus. Dengan menggunakan kekili bangla tiada masalah baginya menangani asakan mangsa dari bawah. Sebaik sahaja Nasir berjaya naikkan ruby berskala 12 kg , tekong terus ‘memulangkan paku buah keras’ kepadanya. “ Hey man, you said no fish, hah!” Tekong menuding jari ke muka Nasir sambil tersenyum sinis. Kami ketawa berderai-derai melihat Nasir yang mula gabra dan malu tidak terkata. ” Tu la, lain kali cakap siang pandang-pandang..cakap Melayu kan senang!” usik Roslan. ”Good job!” jerit Nasir cuba memujuk tekong.

PESTA RUBY SNAPPER

Selepas itu, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang depan belakang, kiri dan kanan. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik. Sekali naik dua ekor sekali. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar. Ada penyamun yang tak puas hati dengan Roslan, “Apasal kau punya besar-besar, aku punya kecik-kecik, ini tidak adil,,aku tipu!” lalu pantas dijawab balik, “Kau tipu tak tipu, aku peduli apa sama kau! Ha, ha.”

Matahari betul-betul di atas kepala. Panasnya bukan main lagi. Kalau dah tak tahan sangat, kami akan masuk ke dalam. Lepak di ruang tamu yang berair cond sambil menonton DVD cerita Nujum Pak Belalang dua tiga round, bolehlah sambung semula pertarungan. Kalau dah letih dan berpeluh, bolehlah mandi-mandi dahulu. Sehari nak mandi sepuluh kali pun tak pe. Bot ini dilengkapi dengan sistem penapis air laut (water filter) yang akan meneutralkan air masin menjadi air tawar. Lepas mandi, kena pula air cond sambil makan jelly kelapa, aisey…syoknya rasa macam di dalam hotel.

Malam itu kami kembali bertarung. Di suatu lubuk yang entah kejadah apa namanya itu kami diserang dengan abang barracuda iaitu barracouta! Ada yang ajak tekong pindah lubuk je. Apa kejadah asyik putus je perambut dari tadi! Bom (batu ladung) seberat 2 kg dah hampir satu guni lebur. Si Roslan dan Nasir paling banyak terkena. Aku pun samalah. Lepas Si Roslan campak kena kat aku. Lepas aku campak kena kat Nasir pula. Pi mai pi mai tang tu. Bunuh je menatang ni baru tau! Apa lagi, semua pakat menyumpah si hantu raya tu. Baru betul, si perompak jumpa penyamun! Awak-awak kerja ketawa je dari tadi. Tekong pula tetap cool. Kami maki dalam bahasa Melayu depa bukannya tau!

Setelah puas kena kutuk kerana asyik terkena si barracouta, Si Roslan buat gempak lagi apabila berjaya mendaratkan seekor kakap merah seberat 15 kg! Adoi mak, besarnya kakap Burma. Tekong dan awak-awak pun turut teruja lalu tumpang pancing sama. Mungkin barracoauta telah balik kampung. Selepas itu, ruby snapper kembali menjamah umpan tidak berhenti-henti membuatkan kami rasa macam tak mau pindah lubuk pulak. Seolah-olah nak tambat je tali bot jika ada tiang kat situ! Pulak dah... itu la, lain kali belajar-belajarlah bersabar, bro... Tekong tau la tempat dia dok cari makan hari-hari.

Hari-hari seterusnya masih lagi melayan ruby snapper. Bagi kaki rendam seperti Roslan dan penyamun-penyamun bottom lain memang enjoy la. Mereka ni gasak betul-betul, memang tak kasi chance punya. Sampai tekong pun kata, ”pancing kasi habislah!” Tekong pun dah malas nak pindah-pindah. Ruby dinaikkan silih berganti. ” Dengar sini penyamun-penyamun semua, malam ini kita kerja overtime!” Masing-masing tak tidur. Kami berpegang pada prinsip ’mimpi tidak akan menjadi kenyataan bila kita terus tidur!’ Segala jenis kopi kami bancuh. Kopi Jantan, kopi Galak, kopi Angguk, semuanya kami bawa keluar. Kopi Hari-hari Mau ada, kopi Ali Guar pun ada, fewwitt! Tapi paling best kopi Janda la, ”bukan nak menggoda, cuma nak berniaga!”he, he... Pendek kata, macam-macam adaaa... Bila mata dah steady baru syok mengai. Kami gasak ruby snapper daripada pukul 10 malam hingga ke Subuh. Betul-betul macam penyamun Nujum Pak Belalang, satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau, dua untuk aku...begitulah seterusnya.



LUBUK KERTANG HITAM

Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami guna perambut 200lb jika tidak mahu tewas lagi. Hanya beberapa penyamun sahaja yang bawa perambut mono tebal begitu. Hantu betul..yang ada hanya perambut Hantu 150lb. Berlakulah tawar menawar di atas bot dengan harga yang berlipat kali ganda ha, ha.. Kalau dah penyamun tu, penyamun jugak, ambik kesempatan betul! Tapi kami belasah je, balik Malaysia nanti baru cerita haa...

”Semar inson, mata kaji , semar ngi seng!” Nampaknya tekong telah parking betul-betul di atas ’gua harta karun’ milik ’40 penyamun’ . Apa lagi, geng-geng ’Kassim Baba’ yang handsome lagi tamak dan bongkak ini mai balaih habih! Cuma penyamun sekarang tak guna lori tapi guna bot mewah. Yang tinggal cuma ’lampu’ saja. ” Nasib baik kau panas, kalau tidak engkau pun aku kebas!” he he..

Penyamun-penyamun ni pulun habis-habisan. Daripada ibu, bapa hinggalah ke anak cucu kerapu hitam diorang ni bawa naik. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Cuma datuk dan neneknya saja gagal dinaikkan pasal ’bangla-bangla’ kami tak cukup power. Reel kayuh pakai tangan lagilah tak relevan kat sini. Kalau setakat Tanacom Bull dan Command X4 tu tak jalan, beb. Tak bergerak pun spool! Suatu ketika, Command X6 milik Roslan Bank berasap panas dan terpaksa disiram dengan air. Menurut tekong, mungkin kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg membaham umpan tuna milik orang tua ni. Akhirnya tewas juga dia di tangan kertang ganas. Itu yang membuatkan si penyamun ni berangan-angan nak order Command X9 pula tu. Misai dan Boweng pula lain ceritanya. Dari tadi masih kempunan dengan kertang hitam. Apa la nasib malang dua sahabat ni, asyik ambil gambar saja dari tadi. Mungkin salah baca mantera kot, itu pasal la kertang tak nak makan. ” Cuba hang baca ni, marang kerapu, keponden, marang skepper!” usik Roslan Bank. “Rampong ngi seng, semar ngi seng, semar ti lom!” ada penyamun lain pula menyampuk. “ Woi, nanti pintu gua tutuplah!”

Punya la pulun pancing sampai semua bateri yang kami bawa kong! Ikan tengah makan, bateri pula buat hal. Tiba-tiba tekong pakai glove. Aik, nak jigging pulak ka? Ceh, rupanya dia tolong karau tali guna tangan supaya ikan cepat naik. Kalau lambat, takut perambut putus lagi katanya. Selepas itu tekong turun selongkar perut bot lalu membawa naik. Gedegang! Nah, ambik hang bateri lori! Bateri lori pun bateri lorilah, asal boleh guna sudah. Kami pakat ’connect’ sorang sikit pasai power dia kuat sangat, nanti terbakar pula reel!

TUNA WAKENABEB!

Tengah-tengah syok kerapu hitam menggila, umpan ikan selayang pula habis! Kalau nak ikutkan hati, mau aku selinap je barracouta-barracouta semalam buat umpan! Mula-mula awak-awak keluarkan ikan aya budak, lepas tu dia ambik pula skipjack tuna, tak pa lagi. Last sekali, dia mula selok ambil yellow fin tuna pulak dah! Aduh, sayangnya, dah le tuna tak banyak mana. Kami semua tak terkata apa. Apa nak buat, masa itu kerapu hitam tengah galak makan. Terpaksalah korbankan yellow fin tuna demi mengejar kerapu hitam. Tekong kata tak pe, dalam perjalanan pulang kita singgah jigging tuna sekali lagi. Celah-celah tu saya sempat smuggle 3,4 keping hirisan isi tuna tersebut lalu terus ke dapur. Dalam kesibukan mereka melayan kerapu hitam, saya dan Sir Rustam sempatlah merasa daging tuna celur yang enak itu. ”Hangpa tau dak berapa ratus ringgit untuk satu hiris ni di Jepun?” gurau Sir Rustam sambil yang lain-lainnya mencilok lagi sekeping dua seorang. Aku pun tak tau apa yang aku masak, shushi ke, wasabe ke, wakenabeb ke!

BERBALOI-BALOI...

Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan antara kami yang sentiasa ‘happy go lucky’… Yang tidak bernasib baik, hasil tangkapan akan dibahagikan sama rata, sama rasa. “ Satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau, dua untuk aku, tiga untuk kau, tiga untuk aku,… Bedal dah, untuk kau, bedal dah, untuk aku! Hey, dalam dunia mana ada huruf bedal dah, untuk kau,.. hey, dalam dunia mana ada huruf bedal dah, untuk aku!… Eeih untuk kau, eeih untuk aku!” Begitulah riuh rendahnya bila penyamun-penyamun Crossing Border Angler’s Team membahagikan harta rompakan Burma Bank. Meminjam kata-kata Amy Search, berbaloi-baloi!... Namun kami tetap bersyukur dengan hasil rompakan yang tidaklah sebanyak mana, cuma hampir satu setengah tan sahaja! Talian pertanyaan 019 4588661/019 5516636.